JEMPOL - “Kami bantah pencalonan Datuk Lilah,” demikian antara dilaungkan lebih 200 warga Felda Dun Palong yang membantah pencalonan semula penyandang kerusi Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin bagi kerusi Dun Palong dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.
Bantahan aman selama satu jam di padang awam Felda Palong 11 ini turut menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka menerusi sepanduk bertulis ‘Pulang hak kami’, ‘jangan khianati kami’ dan ‘Datuk Lilah perampas’.
Ketua Penerangan Umno cawangan Felda Palong 13, Ab Hamid Talib berkata, penduduk di situ mahu calon Dun Palong terdiri daripada warga Felda, sama ada di kalangan peneroka, penerokawati atau generasi kedua Felda.
“Kita tidak benci Datuk Lilah, malahan sebelum ini pun kita sentiasa sokong beliau. Kami hanya mahu calon warga Felda sendiri, itu sahaja.
“Lagipun sudah menjadi tradisi Adun Palong sebelum ini merupakan orang tempatan iaitu warga Felda sendiri. Bagaimanapun, kita tidak akan sabotaj parti dan akan sentiasa menyokong BN dalam PRU ini.
“Jika calon ini tidak ditukar, maka kita terpaksa jugalah terima, tetapi orang lain (penduduk) saya tidak tahulah bagaimana pilihan mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, seorang anak peneroka, Mohd Rafi Mezali, 36, berkata, sebagai mewakili generasi kedua Felda, dia sebulat suara menolak pencalonan Lilah.
“Pengundi yang menentukan hala tuju Dun Palong, jadi kami mahu suara ini didengar, kami mahu calon daripada anak tempatan, bukannya individu luar,” katanya.
Ketua Pemuda Umno Cawangan Felda Palong Lapan, Zailani Ramli, 45, merangkap Exco Pemuda Umno Bahagian Jempol berkata, tidak mungkin tiada calon yang berwibawa untuk mewakili 16,000 pengundi Dun Palong.
“Ketandusan calonkah kita? Pada pendapat saya, kita tidak ketandusan kerana pemimpin bersilih ganti malahan tidak perlu calon luar yang menjadi wakil Dun Palong,” katanya.
Dalam pada itu juga, beberapa peserta bantahan turut bertindak menurunkan bendera BN di sekitar Felda Palong 11, di sini.
Lilah diumumkan bertanding di Dun Palong pada PRU13 setelah Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bakal bertanding di kerusi Parlimen yang disandangnya. - SH
Pergolakkan Umno-BN yang sudah tidak boleh disembunyikan lagi.
Judul : 'Kami bantah pencalonan Datuk Lilah'
Deskripsi : JEMPOL - “Kami bantah pencalonan Datuk Lilah,” demikian antara dilaungkan lebih 200 warga Felda Dun Palong yang membantah pencalonan semul...