SHAH ALAM 7 Ogos - Para peguam yang menyertai rombongan inkues siasatan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock ke Plaza Masalam di sini hari ini tidak mahu membuat sebarang spekulasi meskipun tingkap di tingkat 14 Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) boleh dibuka dengan luas.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan negeri Selangor ketika ditanya sejurus selesai lawatan ke tempat kejadian berkata: ``Setakat ini tiada penjelasan dari tingkat berapakah Beng Hock jatuh. Kita akan mendengar keterangan daripada pakar patologi dan pakar forensik terlebih dahulu.
``Hari ini kami hanya ditunjukkan semua tempat dan suasana serta keadaan. Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Dari tempat saya berdiri sebentar tadi (di tingkat 14) memang boleh melihat mayat Beng Hock yang sebelum ini ditemui di bahagian bumbung tingkat lima,’’ kata Malik.
Sementara itu, Gobind pula dalam lawatan tersebut mengenal pasti dua perkara yang pada anggapannya mungkin pegawai penyiasat telah terlepas pandang atau tersilap pandang.
``Kami akan membuat keputusan sama ada akan atau tidak membuat permohonan kepada Koroner untuk siasatan lanjutan atau sebarang perintah lain,’’ kata Gobind.
Peguam itu juga berkata siasatan polis sebelum ini hanya menjurus kepada kemungkinan Beng Hock terjatuh atau bunuh diri tetapi, tidak menjalankan siasatan kemungkinan dia sebenarnya ditolak.
Dalam lawatan tersebut, Koroner Azmil Muntapha Abas turut mengunjungi ke satu lagi ruang pejabat SPRM di tingkat 15 dan di bahagian bumbung tingkat lima tempat mayat dijumpai serta bilik kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV).
Azmil berada dalam pejabat SPRM sejak pukul 9.50 dan keluar sejam kemudian sebelum melawat ke lokasi lain.
- Utusan
Judul : Peguam tidak mahu buat spekulasi
Deskripsi : SHAH ALAM 7 Ogos - Para peguam yang menyertai rombongan inkues siasatan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock ke Plaza M...