IPOH - Pemuda Pas mendesak supaya siasatan sama dilakukan ke atas sebuah akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan karikatur bertajuk ‘Plat Berharga RM500,000’ pada 28 Mei lalu.
Timbalan Pemuda Pas Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pihaknya tidak berpuas hati apabila kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung isu pembelian plat WWW1 yang dikemukakan di dalam mesej Twitternya pada 28 Mei lalu, diperbesarkan.
Menurutnya, tindakan dan siasatan dilakukan polis Johor dianggap tidak rasional kerana penyiaran karikatur berkaitan bidaan RM520,000 itu disiarkan awal pagi sebelum Mohammad Nizar menghantar mesej dalam laman Twitter.
“Kenapa mesej Mohammad Nizar sahaja diperhatikan sedangkan karikatur dalam akhbar itu disiarkan lebih awal.
“Malahan, akhbar yang sama sekali lagi siarkan karikatur bertajuk ‘WWW1 paling mahal’ keluaran 30 Mei lalu,” katanya, ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.
Berikutan itu, satu laporan polis dibuat bagi menyiasat perkara tersebut.
Berdasarkan rekod, bekas Menteri Besar Perak itu menghantar mesej dalam laman Twitter pada jam 4.07 petang hari sama penyiaran karikatur berkenaan.
Selain itu, Raja Ahmad berkata, mungkin mesej disampaikan Mohammad Nizar secara tidak langsung dipengaruhi dengan kenyataan dikeluarkan akhbar berkenaan.
Kekeliruan timbul apabila hanya kenyataan Mohammad Nizar disiasat sedangkan karikatur yang disiarkan akhbar berkenaan terlepas begitu sahaja.
Beliau berharap, tindakan sama turut dikenakan ke atas akhbar tersebut kerana ia turut memaparkan isu yang berkaitan. - Sinar Harian
Judul : Pemuda Pas Perak gesa polis siasat karikatur WWW1
Deskripsi : IPOH - Pemuda Pas mendesak supaya siasatan sama dilakukan ke atas sebuah akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan karikatur bertajuk ‘Plat Be...