KUALA LUMPUR - Pendedahan surat kononnya tokoh ulama Islam Prof Dr Yusuf Al-Qardawi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dilihat sebagai langkah terdesak ketua pembangkang itu untuk membentuk persepsi masyarakat.
Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata pengeluaran dan penyebaran surat yang belum dapat disahihkan keasliannya mempamerkan opsyen terakhir Anwar untuk melonjakkan sokongan kepadanya dengan menggunakan pengaruh yang ada pada Pengerusi Lembaga Amanah, Institusi Antarabangsa Al-Quds itu.
"Apa yang telah dilakukan sehingga munculnya surat yang kononnya membuat pengisytiharan terbuka mengiktiraf Anwar sebagai manusia paling layak menerajui Malaysia sangat sukar diterima.
"Mana mungkin seseorang yang berada lebih 10,000 kilometer (dari negara ini) dan tidak pernah bergelumang dalam kancah kehidupan masyarakat di Malaysia apalagi dalam arena politik yang begitu pelbagai dapat membuat suatu rumusan bagi pihak 27 juta rakyat negara ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada Jumaat lepas, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan risalah yang didakwa mengandungi surat terbuka dari Al-Qardawi yang menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri.
Hasan, yang juga bekas pesuruhjaya Pas Selangor, bertanya bagaimana seorang pemikir di negara ini mampu mengeluarkan surat memperakui seorang pemimpin di negara luar dan apakah rakyat negara itu mampu juga menerima dan mengakui kesahihan surat berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan Majlis Syura Pas pada Februari lepas juga jelas menolak Anwar sebagai perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan pusat.
Beliau yakin rakyat di negara ini lebih mengenali Anwar berbanding pemimpin negara luar.- Bernama
Sifat katak (katak bawah tempurung) terjelma pada diri Hasan apabila mengatakan jarak yang jauh adalah penghalang mendapatkan maklumat masa kini.