PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Syarikat Bright Rims Manufacturing Sdn Bhd dikenakan denda RM60,000 atau dua tahun penjara kerana kesalahan membuat pengusikan pada meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan menghalang meter tersebut daripada merekodkan penggunaan elektrik sebenar.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman itu di Mahkamah Majistret Selayang dua hari lalu setelah berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu, kata Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan di sini Khamis.
"Syarikat itu didakwa mengikut subseksyen 37 (3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Ini adalah hukuman kedua tertinggi yang pernah dijatuhkan oleh mahkamah, di mana sebelum ini denda RM70,000 dikenakan ke atas syarikat Fibre Pak Malaysia Sdn Bhd atas kesalahan sama," menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya Tenaga turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai mengenai sebarang aktiviti mencuri elektrik kerana jenayah itu boleh meningkatkan kos pembekalan elektrik kepada pengguna. - BERNAMA
Judul : Syarikat Didenda RM60,000 Halang Meter Elektrik Rekod Penggunaan Sebenar
Deskripsi : PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Syarikat Bright Rims Manufacturing Sdn Bhd dikenakan denda RM60,000 atau dua tahun penjara kerana kesalahan...