PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Suspek wanita yang ditembak selepas mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri bersama seorang lelaki pada Isnin, menitipkan dua anak kecilnya di rumah ibu bapanya di Damansara dekat sini, dua hari lepas.
Bapa suspek seorang penjual nasi lemak berumur 55 tahun, berkata suspek meminta mereka menjaga anak-anaknya berusia dua tahun dan setahun dan mereka menyangka dia mempunyai urusan kerja di luar kawasan.
Katanya setahunya suspek, anak kedua dari empat beradik, bekerja sebagai
penolong pengurus sebuah syarikat swasta tetapi rupa-rupanya sudah
berhenti kerja tanpa pengetahuan mereka.
"Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku. Kehidupan anak saya normal sahaja.
Mungkin kerana dia suka melayan internet. Sekolah tinggi tetapi jadi macam itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini pada Selasa.
"Saya kesal dengan apa yang dia buat," katanya sambil menambah beliau mendapat tahu tentang kejadian itu apabila diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya setelah mendail nombor telefon bimbit anaknya itu.
-- BERNAMA
Judul : Bapa Suspek Wanita Mengamuk Tidak Sangka Anak Bertindak Begitu
Deskripsi : PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Suspek wanita yang ditembak selepas mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri bersa...