
KUALA LUMPUR — Modus operandi sindiket dadah berubah ketara pada tahun lepas apabila menjadikan ramai warga tempatan, terutamanya gadis, sebagai kaldai dadah, kata Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk M. Govinden semalam.
Beliau berkata, berbanding pada 2009 dan 2010 yang menyaksikan ramai warga Iran dan India ditahan kerana mengedar dadah, pihaknya mencatatkan peningkatan tangkapan ke atas warga tempatan pada 2011.
"Pada 2009 dan 2010, seramai lapan orang rakyat Iran dan India ditahan. Pada 2011, warga Iran masih ramai (ditahan), India pula tak ramai tetapi trend baru apabila lapan warga tempatan dan sembilan warga Eropah dan Nigeria ditahan di KLIA,” katanya pada program bicara Bernama TV Hello Malaysia.
Govinden berkata, sindiket dadah dilihat sering menggunakan gadis tempatan berumur antara 19 dan 20 tahun yang diumpan dengan barangan berharga.
"Statistik pada Jun tahun lepas menunjukkan 17 wanita tempatan telah ditahan di China. Itu belum lagi di negara-negara lain. Mereka terpesona dengan tawaran sindiket yang antaranya membeli beg tangan berjenama mahal.
“Mereka dihantar ke luar negara dengan tangan kosong dan tidur hanya satu malam di sasna sebelum pulang membawa satu beg berisi dadah,” katanya.
Govinden berkata, statistik Kastam KLIA tahun lepas mendapati rampasan dadah di lapangan terbang itu berjumlah 1,097 kg dengan nilai pasaran RM261 juta. — BERNAMA
Judul : Makin ramai warga tempatan jadi kaldai dadah
Deskripsi : KUALA LUMPUR — Modus operandi sindiket dadah berubah ketara pada tahun lepas apabila menjadikan ramai warga tempatan, terutamanya gadis, seb...