KUALA LUMPUR 6 Ogos - Seorang penjual buah-buahan mati dipercayai ditetak oleh sekumpulan sembilan lelaki bersenjatakan parang ketika dia sedang minum bersama tiga rakan di sebuah restoran yang terletak di bawah rumahnya di Jalan 1, Selayang Baru di sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, G. Rajendran, 52, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badannya kerana tetakan bertubi-tubi dengan parang oleh sembilan suspek tersebut.
Difahamkan, dalam kejdian itu, mangsa yang lebih dikenali sebagai Raja, hampir putus tangan kirinya.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa didatangi sekumpulan sembilan lelaki,empat daripada mereka memakai topeng, yang kemudian meluru ke arah mangsa dan terus menetaknya.
Kesembilan suspek datang dengan dua buah kereta iaitu sebuah Proton Waja dan Proton Iswara.
Tiga lagi rakannya dikatakan sempat melarikan diri ketika mangsa diserang.
Suasana di tempat kejadian turut diselubungi kesedihan dan suara tangisan ahli-ahli keluarga mangsa.
Kediaman mangsa terletak di tingkat tiga rumah kedai tersebut. Rajendran yang bekerja di pasar borong lama Selayang, dikatakan sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Motif pembunuhan masih belum diketahui tetapi polis akan siasat kes itu daripada semua kemungkinan," katanya.
Abdul Rahim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61385222 untuk membantu siasatan polis.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat. - Utusan
* Selamat datang ke pesta buah-buahan dan pesta jenayah di Malaysia.
Judul : Penjual buah-buahan mati ditetak
Deskripsi : KUALA LUMPUR 6 Ogos - Seorang penjual buah-buahan mati dipercayai ditetak oleh sekumpulan sembilan lelaki bersenjatakan parang ketika dia se...